Friday 20 November 2015

Kisah Benar di sebalik adik-beradik Pengasa Adidas dan Puma !!

Adidas dan Puma merupakan dua jenama sukan terkemuka dunia yang menghasilkan pakaian dan kelengkapan untuk pelbagai jenis sukan. Kedua-dua jenama ini asalnya daripada satu perusahaan adik-beradik sebelum mereka berpecah dan menubuhkan label masing-masing.


Gebrüder Dassler Schuhfabrik
(Dassler Brothers Shoe Factory)

Christoph Von Wilhelm Dassler pekerja di kilang kasut, manakala isterinya, Pauline membuka dobi di Herzogenaurach, Bavaria, Jerman. Anak lelaki mereka, Rudolf "Rudi" Dassler bekerja di kilang kasut bersama bapanya setelah tamat sekolah. Sekembalinya daripada berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama, Rudi ditawarkan jawatan pengurusan di sebuah kilang porselin, dan kemudiannya di sebuah perniagaan borong kulit di Nuremberg, Jerman.

jenama sukan popular
Adolf (kiri) dan Rudolf (kanan) Dassler.
Seorang lagi anak lelaki mereka, Adolf "Adi" Dassler, mula menghasilkan kasut sukan sendiri di Herzogenaurach. Pada 1924, Rudi kembali ke kampung dan memulakan perniagaan dengan pembukaan kilang Gebrüder Dassler Schuhfabrik (Dassler Brothers Shoe Factory)

jenama sukan popular
Adolf "Adi" Dassler - pengasas Adidas
Sukan Olimpik 1936, Adi membawa kasut sukannya untuk di pakaikan kepada pelari pecut Amerika, Jesse Owens. Oleh kerana Owens berjaya merangkul empat pingat emas, reputasi kasut Dassler naik mendadak. Permintaan oleh pelanggan terhadap kasut mereka naik mendadak sehingga cecah 200 000 setahun sebelum berlakunya perang dunia kedua.

Konflik Adik-beradik

Keretakan hubungan adik-beradik yang juga rakan perniagaan ini semakin terserlah pada era Perang Dunia Kedua.

Pada 1930-an, nama dan perjuangan Adolf Hitler semakin berkembang. Adik-beradik ini menyertai pakatan Parti Nazi, namun penglibatan Rudi lebih menyerlah. Akhirnya Rudi ditahan oleh tentera Amerika kerana disyaki menjadi ahli SS, organisasi separa tentera di bawah kepimpinan Adolf Hitler dan Parti Nazi manakala Adi masih bebas menghasilkan kasut untuk Wehrmacht (pasukan tentera) sebelum dia mengambil keputusan keluar daripada Parti Nazi. Rudi percaya bahawa perkara tersebut di bocorkan oleh seseorang yang tidak lain dan bukan adiknya sendiri iaitu Adi.

jenama sukan popular
Adi Dassler di kilangnya suatu ketika dahulu.
Dikhabarkan juga, satu insiden telahberlaku antara adik-beradik ini. Pada 1943, serangan bom oleh pihak Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua menyebabkan mereka dan keluarga masing-masing lari berlindung daripada serangan tersebut. Ketika itu, Adi dan isterinya masuk ke sebuah kubu perlindungan, di mana Rudi dan keluarganya sudah pun berada di dalam kubu tersebut. "The dirty bastards are back again", kata Adi, merujuk kepada pengebom bersekutu tapi kian terasa pada Rudi dan keluarganya yang salah faham.

jenama sukan popular
Rudolf "Rudi" Dassler - pengasas Puma
Akhirnya, perusahaan adik-beradik ini berakhir akibat perselisihan faham. Rudi kemudiannya menubuhkan satu jenama baru dengan nama "Ruda" – Rudolf Dassler, sebelum dijenamakan semula sebagai Puma. Adi pula menamakan semula perusahaannya sebelum ini kepada Adidas – Adi Dassler dan syarikat tersebut secara rasminya didaftarkan pada 18 Ogos 1949.

Persaingan Awal Adidas Dan Puma

Kedua-dua jenama ini berpangkalan di Herzogenaurach, Jerman, hinggakan bandar ini diberi gelaran "the town of bent necks" - di mana orang tempatan sentiasa melihat kasut mana yang dipakai oleh orang luar yang datang ke sini. Malah, dua kelab bola sepak bandar tersebut turut menjadi seteru antara satu sama lain. ASV Herzogenaurach menyokong (ditaja) Adidas sementara 1. FC Herzogenaurach mengguna pakai but rekaan Rudi, Puma.

jenama sukan popular
KIRI: Logo asal trefoil Adidas yang digunakan sehingga 1997 kini hanya digunakan pada produk Adidas Originals.
KANAN: Logo Adidas yang digunakan kini.
Apabila penukang dipanggil ke rumah Rudi, mereka dengan sengaja akan memakai kasut Adidas. Rudi akan mengarahkan mereka ke tingkat bawah rumah untuk mengambil sepasang kasut Puma percuma. Taktik baik punya! 

Pada 1948, perlawanan pertama bola sepak selepas Perang Dunia Kedua, beberapa pemain kebangsaan Jerman Barat memakai but Puma termasuk penjaring perlawanan, Herbert Burdenski. Empat tahun kemudian, pada Sukan Olimpik 1952, pelari Josy Barthel memenangi pingat emas dalam acara 1500 m di Helsinki, Finland, pingat emas Olimpik pertama buat Puma.

Pada Sukan Olimpik 1960, Puma membayar pelari pecut Jerman, Armin Hary untuk memakai kasut Puma dalam acara akhir 100 m. Sebelum itu, dia memakai kasut Adidas dan meminta bayaran daripada Adidas tetapi Adi telah menolak permintaan tersebut. Hary kemudiannya memenangi pingat emas bersama Puma tetapi telah "menduakan" Puma, dengan melibatkan Adidas dalam majlis penyampaian pingat. Ia mengejutkan Adi dan sudah tentunya Rudi. Hary sebenarnya mengharapkan bayaran daripada kedua-dua pihak, malangnya dia telah diboikot oleh Adi yang marah akan tindakannya itu.

jenama sukan popular
Arca gangsa Adolf Dassler di Adi-Dassler-Stadium di Herzogenaurauch oleh artis Josef Tabachnyk.
Adolf Dassler mati pada 1978 ketika berusia 77 tahun, manakala abangnya Rudolf Dassler mati pada 1974 ketika berusia 76 tahun akibat kanser paru-paru. Mereka tidak pernah berdamai. Walaupun ditempatkan di perkuburan sama, mereka ditanam sejauh mungkin di antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, jenama Adidas dan Puma kini tiada tolok banding nya. Masing-masing mempunyai keunikkan dan kelebihan sendiri. Malah sekarang bukan hanya pada kasut, kedua-dua nya memperluaskan sehingga menghasilkan lebih banyak peralatan sukan seperti baju, seluar dan lain-lain lagi. 

Sememangnya dua jenama gergasi di mata dunia ini akan sentiasa harum di Arena sukan dunia yang mana kualiti dan penghasilan nya sangat TERBAIK...